Wednesday, May 20, 2009

Tafsir Al-Insan Ayat 27-31

إِنَّ هَؤُلاءِ يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءَهُمْ يَوْمًا ثَقِيلا (٢٧)

27. Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) Yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat Yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang Yang tidak bertaqwa).

Dalam ayat 27, Allah menerangkan tentang perbezaan cara kehidupan yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. dan cara kehidupan jahiliyyah. Ia menunjukkan kepada manusia ciri-ciri kehidupan jahiliyyah yang di mana apabila kita menghindari sifat-sifat tersebut, nescaya kita tergolong dalam insan yang mengikuti cara hidup rasul.

Antara cirri-ciri kehidupan jahiliyyah:

  1. Cintakan dunia hingga lalai dan cuai dalam mencari kebaikan
  2. mengambil berat terhadap perkara-perkara yang remeh-temeh hingga lupa tentang perkara yang lebih besar (e.g akhirat)
  3. Pemikiran yang cetek dan kerdil yang terkongkong dalam lingkungan dunia semata-mata.
  4. Tidak mengikut jalan dakwah

Ayat ini juga menjadi ayat menguat semangat Rasulullah dan orang mukmin supaya mengejar hari akhirat di dalam keadaan kefakiran harta di dunia. Manakala suatu amaran keras bagi mereka yang dikurniakan kemewahan tetapi minda dan hatinya tenggelam di dalam kemewahan itu hingga lupa akan akhirat.

Setelah menceritakan ciri-ciri orang yang jahil, Allah memperkecil dan mempersenda kekuatan mereka, yang diagung-agungkan dalam ayat 28.

نَحْنُ خَلَقْنَاهُمْ وَشَدَدْنَا أَسْرَهُمْ وَإِذَا شِئْنَا بَدَّلْنَا أَمْثَالَهُمْ تَبْدِيلا (٢٨)

28. Kamilah Yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (Mereka dengan) orang-orang Yang serupa Dengan mereka, Dengan penggantian Yang sebaik-baiknya.

Mereka berbangga dengan menunjukkan dan menyalahgunakan kekuatan itu hingga tidak sedar akan asal-usul kekuatan itu. Allah menceritakan bagaimana Dia mengurniakan kekuatan dengan menguatkan anggota-anggota badan dan sendi-sendi. Pada masa yang sama, bukan Dia yang kurniakan kekuatan, malah Dia juga berupaya mencabut kembali kekuatan itu dan berinya pada orang lain.

Segala rupa kurnia, tidak semestinya kekuatan, telah dikurniakan atas dasar kehendak, ihsan, sifat Ar-rahman Allah sendiri. Manusia sebagai hamba, tiada hak untuk mempersoalkan keputusan Maha Esa, malah orang mukmin yang lemah tidak perlu risau kerana kekuatan itu datang dari Allah yang mana mereka perjuangkan jalanNya. Sesungguhnya, Allah memelihara insan yang memeliharaNya, seperti dalam hadith riwayat Tarmizi

“….Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau akan mendapati-Nya bersama kemu…”

Konsep ini ialah asas utama dalam Iman kerana ia berkisar dengan kepercayaan qada’ dan qadar Allah. Maka sesiapa yang ,menafikannya, tidak termasuklah ia di kalangan orang-orang beriman dan bertakwa.

Secara keseluruhannya, Allah menyimpulkan mesej yang dijelaskan daripada ayat 1 hingga 28 dalam 3 ayat terakhir surah Al-Insan dengan letakkan Al-Quran sebagai penyelesaian, pegangan dan panduan perlaksanaan mesej-mesej tersebut.

إِنَّ هَذِهِ تَذْكِرَةٌ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَى رَبِّهِ سَبِيلا (٢٩)

29. Sesungguhnya (segala keterangan Yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa Yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan Yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).

وَمَا تَشَاءُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا (٣٠)

30. dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan Dengan cara Yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara Yang dikehendakiNya).

يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (٣١)

31. ia memasukkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditetapkan) ke Dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di Dalam Syurga); dan orang-orang Yang zalim, ia menyediakan untuk mereka azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

Dia memberikan pilihan yakni dengan memilih Al-Quran seseorang itu telah mencapai Allah. Kemudian Allah meneguhkan mesej ayat 28 dalam ayat 30 dan 31 yang segala keputusan manusia bukannya atas kehendak mereka sendiri tetapi ia adalah kehendak dan keputusan Allah yang Maha Mengetahui. Segalanya adalah kehendak mutlak Allah dan Dia sahaja berhak memilih siapa yang layak mendapat rahmatNya.

Allah juga menegaskan yang orang yang zalim tidak akan terlepas dari azab Allah. Orang yang nampak zalim di mata manusia tidak semestinya zalim di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kedudukan seseorang dan Dia juga Maha Adil dalam membuat keputusan


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home