Wednesday, May 20, 2009

Tafsir Al-Insan Ayat 27-31

إِنَّ هَؤُلاءِ يُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَيَذَرُونَ وَرَاءَهُمْ يَوْمًا ثَقِيلا (٢٧)

27. Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) Yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat Yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang Yang tidak bertaqwa).

Dalam ayat 27, Allah menerangkan tentang perbezaan cara kehidupan yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. dan cara kehidupan jahiliyyah. Ia menunjukkan kepada manusia ciri-ciri kehidupan jahiliyyah yang di mana apabila kita menghindari sifat-sifat tersebut, nescaya kita tergolong dalam insan yang mengikuti cara hidup rasul.

Antara cirri-ciri kehidupan jahiliyyah:

  1. Cintakan dunia hingga lalai dan cuai dalam mencari kebaikan
  2. mengambil berat terhadap perkara-perkara yang remeh-temeh hingga lupa tentang perkara yang lebih besar (e.g akhirat)
  3. Pemikiran yang cetek dan kerdil yang terkongkong dalam lingkungan dunia semata-mata.
  4. Tidak mengikut jalan dakwah

Ayat ini juga menjadi ayat menguat semangat Rasulullah dan orang mukmin supaya mengejar hari akhirat di dalam keadaan kefakiran harta di dunia. Manakala suatu amaran keras bagi mereka yang dikurniakan kemewahan tetapi minda dan hatinya tenggelam di dalam kemewahan itu hingga lupa akan akhirat.

Setelah menceritakan ciri-ciri orang yang jahil, Allah memperkecil dan mempersenda kekuatan mereka, yang diagung-agungkan dalam ayat 28.

نَحْنُ خَلَقْنَاهُمْ وَشَدَدْنَا أَسْرَهُمْ وَإِذَا شِئْنَا بَدَّلْنَا أَمْثَالَهُمْ تَبْدِيلا (٢٨)

28. Kamilah Yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan (Mereka dengan) orang-orang Yang serupa Dengan mereka, Dengan penggantian Yang sebaik-baiknya.

Mereka berbangga dengan menunjukkan dan menyalahgunakan kekuatan itu hingga tidak sedar akan asal-usul kekuatan itu. Allah menceritakan bagaimana Dia mengurniakan kekuatan dengan menguatkan anggota-anggota badan dan sendi-sendi. Pada masa yang sama, bukan Dia yang kurniakan kekuatan, malah Dia juga berupaya mencabut kembali kekuatan itu dan berinya pada orang lain.

Segala rupa kurnia, tidak semestinya kekuatan, telah dikurniakan atas dasar kehendak, ihsan, sifat Ar-rahman Allah sendiri. Manusia sebagai hamba, tiada hak untuk mempersoalkan keputusan Maha Esa, malah orang mukmin yang lemah tidak perlu risau kerana kekuatan itu datang dari Allah yang mana mereka perjuangkan jalanNya. Sesungguhnya, Allah memelihara insan yang memeliharaNya, seperti dalam hadith riwayat Tarmizi

“….Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau akan mendapati-Nya bersama kemu…”

Konsep ini ialah asas utama dalam Iman kerana ia berkisar dengan kepercayaan qada’ dan qadar Allah. Maka sesiapa yang ,menafikannya, tidak termasuklah ia di kalangan orang-orang beriman dan bertakwa.

Secara keseluruhannya, Allah menyimpulkan mesej yang dijelaskan daripada ayat 1 hingga 28 dalam 3 ayat terakhir surah Al-Insan dengan letakkan Al-Quran sebagai penyelesaian, pegangan dan panduan perlaksanaan mesej-mesej tersebut.

إِنَّ هَذِهِ تَذْكِرَةٌ فَمَنْ شَاءَ اتَّخَذَ إِلَى رَبِّهِ سَبِيلا (٢٩)

29. Sesungguhnya (segala keterangan Yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka sesiapa Yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan Yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).

وَمَا تَشَاءُونَ إِلا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا (٣٠)

30. dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan Dengan cara Yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara Yang dikehendakiNya).

يُدْخِلُ مَنْ يَشَاءُ فِي رَحْمَتِهِ وَالظَّالِمِينَ أَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا (٣١)

31. ia memasukkan sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut aturan Yang ditetapkan) ke Dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di Dalam Syurga); dan orang-orang Yang zalim, ia menyediakan untuk mereka azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

Dia memberikan pilihan yakni dengan memilih Al-Quran seseorang itu telah mencapai Allah. Kemudian Allah meneguhkan mesej ayat 28 dalam ayat 30 dan 31 yang segala keputusan manusia bukannya atas kehendak mereka sendiri tetapi ia adalah kehendak dan keputusan Allah yang Maha Mengetahui. Segalanya adalah kehendak mutlak Allah dan Dia sahaja berhak memilih siapa yang layak mendapat rahmatNya.

Allah juga menegaskan yang orang yang zalim tidak akan terlepas dari azab Allah. Orang yang nampak zalim di mata manusia tidak semestinya zalim di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui kedudukan seseorang dan Dia juga Maha Adil dalam membuat keputusan


Monday, April 27, 2009

Surah Al-Insan [7-10]

Assalamualaikum....ya aiyuhal Ikhwah.

Surah Al-Insan adalah surah yang membawa berjuta makna kepada semua kaum manusia sepertimana surah-surah lain yang ada di dalam Al-Quran. Pada ayat 7 hingga 10, Allah memperkenalkan kepada manusia sifat-sifat orang-orang yang abrar (ta'at) yang menjadi hamba-hamba kesayanganNya. InsyaAllah inilah sifat yang kita kejar untuk menjadi hamba-hamba kesayangan Allah. 

يُوفُونَ بِٱلنَّذْرِ وَيَخَافُونَ يَوْمًۭا كَانَ شَرُّهُۥ مُسْتَطِيرًۭا ﴿٧﴾
"Mereka menyempurnakan nazar dan takutkan Hari Qiamat yang malapetaka meluas merata-rata"

وَيُطْعِمُونَ ٱلطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِۦ مِسْكِينًۭا وَيَتِيمًۭا وَأَسِيرًا ﴿٨﴾
"Dan memberikan makanan yang disayanginya kepada orang miskin, anak yatim, dan orang tawanan."

إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ ٱللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَآءًۭ وَلَا شُكُورًا ﴿٩﴾
"(Mereka berkata): Sesungguhnya kami memberi makanan kepada kamu semata-mata kerana Allah, kami tidak berkehendak apa-apa balasan dan terima kasih dari kamu".

إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًۭا قَمْطَرِيرًۭا ﴿۰١﴾
"Sesungguhnya kami takut kepada azab Tuhan kami, iaitu azab Hari Qiamat yang membuat muka manusia kusam masam dan suram muram"

Melalui keempat-empat ayat di atas, kita boleh melihat apakah sifat-sifat para abrar yang Allah maksudkan. 
  1. Menyempurnakan kewajipan dan tanggungjawab.
  2. Takut kepada malapetaka Hari Qiamat.
  3. Mengutamakan kepentingan golongan yang lemah. (orang miskin, anak yatim dan tawanan perang)
  4. Pemberian bantuan harus dijiwai semangat mencari keredhaan Allah.

Monday, March 30, 2009

Hadist Ke20 - Malu

Imam Nawawi berkata: "Di atas hadith inilah (hadist ke-20) hukum-hukum Islam dan tunjuk ajarnya berkisar.

Ini kerana 3 situasi:
  1. Semua perkara yg diperintahkan samada wajib atau sunat, hendaklah kita semua malu untuk meninggalkannya.
  2. Semua perkara dilarang samada haram atau makruh, hendaklah kita semua malu untuk melakukannya.
  3. Adapun perkara harus (mubah), maka malu untuk melakukan atau meninggalkan adalah diharuskan."

Jadi ada 5 (lima) perkara yang boleh di-highlight-kan dalam hadith ini:

  1. Wajib - jangan malu-malu buat semua //mesti malu kalau tinggal.
  2. Sunat - jangan malu-malu buat banyak-banyak // mesti malu kalau buat sikit.
  3. Haram - jangan malu-malu tinggal semua // mesti malu kalau buat.
  4. Makruh - jangan malu-malu tinggal banyak-banyak // mesti malu kalau buat banyak-banyak.
  5. Harus - jangan malu-malu ambil yang perlu-perlu sahaja // mesti malu kalau yang tak perlu pun ambil.

Firman Allah s.w.t:

وَاللّهُ لاَ يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ

"Sedang Allah tidak malu daripada menyatakan Kebenaran"
[Al-Ahzab (33): 53]

"Sesiapa yang
malu akan bersembunyi, sesiapa yang bersembunyi akan bertakwa, dan barangsiapa yang bertakwa akan terpelihara daripada keburukan."
-Umar al-Khattab-